10 August 2010

Keretapi Tanah Melayu

Hari ini ada berita tentang keretapi laju dari Ipoh- KL- Seremban.
Kalau dalam cerita hindustan, keretapi bagaikan wajib. Hidup saya pun macam cerita hidustan juga. Tak boleh dipisahkan dari keretapi. Sejak kecil dah biasa dengan jalan keretapi kerana tiap kali melintas mak pesan jangan salah pijak rel, nanti tersepit kaki dan keretapi datang. Satu gambaran yang mengerikan ( selalu adegan begini ada dalam kartun popeye dan bini popeye diselamatkan setelah dia makan bayam). Saya bukan bini popeye.

Sebagai polis, abah dapat 'waran tiket' setahun sekali untuk balik kampung menaiki keretapi. Naik keretapi jadi satu acara besar bila mak masak nasi, rendang, rebus telur dan bawa dalam mangkuk tingkat besar warna kuning. Air kopi dalam 'thermos' warna merah. Walaupun malu nak bawa naik keretapi tapi mak kata kalau malu jangan makan.

Selain banyak bawa bekal, acara menaikkan bekal dan beg baju juga satu acara besar yang perlu persiapan awal. Tugas mesti diagihkan dan setiap orang mesti main peranan bila keretapi sampai.

Along ditugaskan bawa satu beg baju dan kejar keretapi yang masih belum berhenti betul untuk 'booking' tempat duduk. Abah bawa beg yang lain. Mak bawa bakul bekal bersama saya yang masih kecil ( tak diberi tugas apa2). Bila keretapi sampai.. 'Rebut...!'

Perjalanan dari Johor Bahru ke Seremban mengambil masa satu hari. Setiap stesyen berhenti dan aku kenal geography melalui pengalaman naik keretapi. Sedenak dulu ke Kluang dulu. Labis dulu ke Gemas dulu. Melaka tak ada dalam geography aku. Yang ada Batang Melaka.

Ramai yang ada pengalaman yang dikaitkan dengan keretapi. Teringat lagu Rafeah Buang. 'Keretapi bertolak dari ibu kota......tapi sayang oh sayang keretapi dah sampai. Di perhentian kami pun berpisah.' Saya pun ada pengalaman berkenalan dalam keretapi dengan sesaorang. Masa tu masih student naik keretapi dari JB ke KL. Bila sampai KL, dia ajak minum di restaurant Stesyen Keretapi. For the first time, saya baru tahu kena order sandwich by the dozen. Saya minta satu keping je. Dia kata at least half dozen. Malu jugak tapi memang tak biasa minum di restauran mahal. Beberapa bulan kemudian hari raya, dia datang kerumah dengan kawan. Bila dia balik mak sudah 'sound' kat saya. Mak kata abah tak suka. Stop. Keretapi sudah sampai stesyen. Perjalanan terhenti disitu.

Sekarang ada restauran nama 'Kluang Station' yang ada roti bakar popular. Saya ada saudara yang berkerja dan tinggal di Kluang station. Quarters keretapi betul2 disebelah rel. Sedang kami bersembang tiba2 keretapi lalu dan kami 'pause' sebentar untuk beri laluan bunyi bingit. Quarters nya sangat kecil dan sempit tetapi kami boleh tidur disitu ramai-ramai. Itu cara bersaudara ketika itu. Kita tidak perlu tidur hotel. Anak mak cik di Kluang Station ni berjodoh pulak dengan kerabat Sultan Johor dan sekarang tinggal dikawasan istana. Kuasa Tuhan siapa tahu, hari ni kita bersempit- sempit, esok lusa kita berlapang-lapang.

Aaahhh... keretapi. Zaman telah berubah. Semuanya mesti laju dan pantas.

Tapi adakalanya kita teringin pulak yang santai dan relaks. Jom kita naik keretapi ke Cheingmai.


17 July 2010

SELAMAT HARI GURU


Entah kenapa, tiba-tiba terfikir untuk menulis tentang guru bila semua orang telah melupakan guru kerana bukan lagi hari guru.

Seingat saya ( kerana memori telah mula pudar kerana terlalu lama), guru pertama saya bernama Zainab ( Cikgu Zainab) mengajar waktu saya didalam darjah 1, masih terbayang beliau berbaju kurung putih dan berkain batik. Pakaian seragam guru perempuan waktu itu. Tetapi ada seorang guru perempuan yang berani mencabar peraturan ia itu Cikgu Maimunah. Beliau berani memakai baju warna kuning sepasang, bukan baju kurung putih lagi. Beliau seorang guru perempuan yang cantik, masih anak dara dan 'daring' sebab berani pakai baju warna lain.

Guru yang terlekat dalam ingatan adalah Mr. Patrick , guru bahasa Inggeris pertama saya. Skandalnya yang mencabar norma waktu itu menguatkan memori ini. Dia mempunyai 'affair' dengan ustazah hingga ustazah mengandung luar nikah dan membunuh diri secara berbaring diatas rel keretapi. Sungguh tragis. Terlalu tragis bagi kami murid2nya yang baru berumur 7 tahun.

Guru kelas darjah 6 ia lah Cikgu Yahya, sangat lemah lembut dan baik dan pandai mengajar.
Guru besar Cikgu Majid yang mana menghantar anak2nya kesekolah cina. Cikgu Yusof juga saya masih ingat kerana beliau adalah guru pelatih pertama yang menjalani latihan mengajar disekolah saya, menyewa rumah dikampung melayu belakang sekolah dan membayar makan dengan mak cik dibelakang rumah sewanya dan akhirnya kahwin dengan anak mak cik tu.
Hidup waktu itu sangat 'simple'.

Disebelah petang ada sekolah agama. Di sekolah agama hanya ada 2 orang guru, Cikgu Hisham (kalau tak silap) dan Cikgu Ghaffar. Cikgu Ghaffar agak lembut orangnya, orang Kelantan. Keadaan sekolah agama sangat dhaif, hanya menumpang sekolah kebangsaan. Guru yang 2 orang ni bergilir2 mengajar beberapa kelas. Yuran bayar ikut suka. Kami boleh makan dalam kelas dan saya pernah terkantoi sebab bawa buah keranji dalam poket baju kurung ( waktu itu poket baju kat depan dada) dan terpaksa buat ujian amali sembahyang. Bila sujud, berteraburlah buah keranji dari poket. Tak boleh kutip sebab tengah sembahyang. Cuba juga kutip sebiji dua dengan jari waktu sujud tapi Azman nampak dan dia bising " cikgu! dia nak ambik!". Sial punya Azman. Tah mana lah Azman sekarang. Anak Tok Imam Md. Zain.

Bila masuk sekolah menengah, keadaan sudah jadi lebih moden dan lebih komplikated. Guru-guru sekolah menengah lebih moden dan mewah contohnya Mrs. Murugesu. Dia seorang guru Cina bersuamikan India. Seorang yang dedikasi mengajar anak-anak melayu yang tidak pandai langsung berbahasa inggeris kerana kami hanya belajar bahasa inggeris dalam kelas bahasa inggeris sahaja, selain dari itu kami tidak jumpa bahasa inggeris.

Di tingkatan 4, guru kelas Puan Satiah, apa yang teringat tentang dia adalah pendapatnya yang 'bukan semua kelahiran dikehendakki' dan dia selalu mengandung. Guru Add maths Mr Teoh, 'hairstyle' nya yang membuat saya ingat, Mr Yeoh guru chemistry, Mr. Ngoh guru fizik dan guru biology saya dah lupa nama tapi hanya ingat sanggulnya sahaja sebab dia seorang guru India.
Paling mudah diingati ialah Dawn Tan, guru besar yang garang, kontroversi dan pernah mendapat anugerah gurubesar terbaik kebangsaan. Katanya dia berkahwin dengan guru besar English College ( sekarang ni Maktab Sultan Abu Bakar). Ada cerita tentang dia ni tapi tak boleh tulis sini. Semua muridnya dah tahu so tak perlu cerita.

Sekian dulu untuk kali ini. Semoga Allah memberkati semua guru-guru ku, samada yang masih hidup atau yang telah kembali.

30 June 2010

SEDERHANA


Bersederhanalah dalam apa jua tindakan, kelakuan dan pertuturan.
Allah suka yang tidak melampaui batas. Sederhana.

03 May 2010

Sepanjang jalan kenangan


Sepanjang jalan kenangan


Kita selalu berganding tangan


Sepanjang jalan kenangan


Kau peluk diriku mesra



Hujan yang rintik rintik
di awal bulan itu

Menambah nikmatnya malam syahdu





Walau diriku kini telah berdua



dirimu pun tiada berbeda


Namun kenangan sepanjang jalan itu





17 April 2010

Lelaki ini

Ini adalah kisah sejarah. Nama nya Mohd Noh. Dia kerja posmen. Dia akan kayuh basikal setiap hari 5 batu dari rumahnya ke tempat kami. Dia tak pernah bawa bekal. Kadang-kadang mak yang sediakan makanan untuk dia. Kadang-kadang tiada sesiapa yang pelawa makan dan aku tak pernah lihat dia beli makanan.

Kehidupannya tidak kaya tapi aku tak pernah dengar dia complaint tentang miskinnya. Mak memang baik, kalau bulan puasa mak selalu ajak dia berbuka dirumah. Mak memang sediakan juadah yang extra hebat semasa bulan puasa.

Bila hari raya kami pergi ziarah kerumahnya. Rumahnya sangat sempit kerana menyewa belakang rumah orang. Hanya ada satu bilik tidur, dapur kecil diluar dan ruang tamu yang sempit sekali. Dia ada ramai anak ( 5 orang ).

Dia orang Muar. Dialah Pak Noh, guru yang ajar aku mengaji quran dan sembahyang. Masa tu aku baru 8 tahun. Dia sangat garang semasa mengajar. Bila kena marah, aku akan menangis sampai keluar hingus dan lap dengan tudung kepala.

Anak muridnya pernah jadi johan pertandingan membaca quran peringkat negeri ( bukan aku). Dia juga pernah beberapa kali jadi johan peringkat negeri. Dia juga pernah jadi pengadil pertandingan membaca quran.

Waktu itu, juara sepertinya hanya masa pertandingan sahaja. Kehidupannya kembali normal selepas itu. Tiada apa-apa beza. Hari-hari kayuh basikal juga. Akhirnya dia terpaksa melihat sedikit kepentingan untuk dirinya walau dengan berat hati... dia terima tawaran jadi bilal di masjid Tampoi. Jadi kami tidak lagi dapat belajar quran dengannya.

Sebagai bilal, dia dapat hadiah mengerjakan haji. Sesuatu yang tak pernah dimimpikannya secara logik. Pak Noh. Sesaorang yang telah memain peranan penting dalam hidup aku.
Ya Allah, berilah Rahmat Mu kepadanya.

14 April 2010

The party is over


The party is over
usher the guests out
Stop the music
stack up the chairs
throw away the leftovers to the barking dog
put out the lights

Celebration is over and done
but the disappointment remain

I am all by myself
all alone again
and the gift undelivered

06 April 2010

Kipas susah mati


Dato' Mohd Nor B.Khalid. Mungkin ada yang kenal dan ada yang tidak dengan nama ini.Saya meminatinya. Saya meminati karya dan kreativitinya sejak remaja lagi.Sejak sekolah lagi. Mungkin kerana karyanya mudah difahami kerana ianya sama dengan yang saya alami.

Sebagai peminat, saya menulis surat kepadanya menggunakan 'writing pad'. Pada ketika itu perhubungan hanya melalui surat. Tiada telefon, e-mail, face book, chat etc. Telefon hanya untuk orang berada. Dan surat pun ditulis tangan sahaja, tiada mesin taip. Menaip surat hanya untuk mereka lepasan sekolah yang bercita-cita jadi kerani.

Apabila saya menerima balasan darinya, saya berasa sungguh gembira. Masih saya ingat, surat balasan itu ditulis sendiri oleh beliau menggunakan 'writing pad' yang agak kecil ( seperti memo pad)bergaris biru. Tak ingat dah apa isi kandungan surat itu dan saya menceritakannya pada emak dan kawan-kawan dan berasa sungguh bangga.

Sejak itu kerap juga saya mengirim surat kepada beliau sekadar menceritakan kehidupan harian saya dan beliau membalasnya beberapa kali. Saya berasa bangga apabila beliau pernah mengambil pengalaman saya dan menterjemahkan dalam karya beliau dan disiarkan diakhbar.

Sebagai peminatnya, saya simpan suratnya hingga saya ke universiti. Tak ingat bila dan kenapa kami tidak berhubung lagi. Suratnya pun tah dimana. Ini kisah hampir 40 tahun lalu. Tak saya sangka beliau sekarang ini menjadi Ikon Malaysia. Buku-bukunya diterjemah ke banyak bahasa dan diedar merata dunia. Ada yang membawa bukunya sebagai cenderamata apabila keluar negara.Beliau adalah Kartunis Lat.

Mungkin sebab ini anak-anak pun minat kartun /manga.